General Knowledges's Followers

Just Click & You Just Treat Me!!! tQ

Sep 27, 2022

Doa Ringkas Untuk Amalan Harian

1. Doa Awal Pagi

اللّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا وَ رِزْقًا طَيِّبًا وَ عَمَلاً مُتَقَبَّلاً

"Ya Allah sesungguhnya aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik, dan amalan yang diterima."

2. Doa Kebaikan Dunia dan Akhirat

رَبَّنَا آَتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآَخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Ya Allah, berikanlah kepada kami kebaikan di dunia, berikan pula kebaikan di akhirat, dan lindungilah kami dari siksa neraka. (QS. Al-Baqarah: 201).


3. Doa dimudahkan segala urusan

اللَّهُمَّ لاَ سَهْلَ إِلاَّ مَا جَعَلْتَهُ سَهْلاً وَأَنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إِذَا شِئْتَ سَهْلاً

Ya Allah, tidak ada kemudahan kecuali yang Engkau mudahkan dan Engkau perkara yang susah boleh Engkau jadikan mudah apabila Engkau menghendakinya (Hadis riwayat Ibnu Hibban).



4. Doa sebelum tidur

بِاسْمِكَ اللّهُمَّ أَحْيَا وَبِاسْمِكَ أَمُوتُ

Artinya: "Dengan menyebut nama-Mu, Ya Allah, aku hidup dan dengan menyebut nama-Mu aku mati"


5. Doa bangun tidur

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِيْ أَحْيَانَا بَعْدَ مَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُوْرِ

"Segala puji bagi Allah, yang telah membangunkan kami setelah menidurkan kami dan kepada-Nya lah kami dibangkitkan." (HR. Bukhari no. 6325)



Apa konsep sebenar halal dan haram dalam makanan? Ini panduan dan penjelasannya.

March 16, 2021 

https://utusantv.com/2021/03/16/konsep-halal-dan-haram-dalam-makanan/

Hari ini, pelbagai produk makanan dan kepenggunaan yang bersifat semasa banyak di pasaran. Ada antaranya dimaklumi kehalalannya. Terdapat juga produk makanan yang masih belum diketahui hukumnya, terutama konsep halal dan haram dalam makanan.

Dengan itu, produk-produk seperti ini memerlukan kajian yang mendalam oleh para ulama bagi menentukan hukumnya secara jelas. Firman Allah S.W.T.  dalam surah Al-Nahl: 116

“Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu, “Ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya.”

Ironinya, masyarakat Islam tidak boleh menuding jari kepada pihak berwajib semata-semata. Sebaliknya harus sentiasa peka terhadap segala jenis produk makanan dan kepenggunaan yang terdapat di sekeliling mereka.

Sekiranya hal ini dapat dilakukan dengan baik, sudah pasti misi dan visi kerajaan untuk memperkenalkan halal hub dapat terlaksana dengan jayanya. Sekali gus menjadi contoh di peringkat global.

Bagi merealisasikan hasrat murni kerajaan untuk melahirkan produk-produk makanan halal di peringkat nasional dan global, pemahaman terhadap konsep makanan halal dan haram harus ditonjolkan secara komprehensif melalui media cetak dan elektronik kepada lapisan masyarakat.

Para ulama telah membincangkan secara mendalam berhubung makanan yang halal, haram, dan makruh untuk dimakan oleh umat Islam. Justeru, di sini dijelaskan konsep makanan yang halal dimakan menurut perspektif Islam.

Halal itu lebih banyak

Perkataan  halal  sering digunakan dalam penentuan hukum makanan dan sebagainya. Ia memberi erti  harus atau boleh . Apabila sesuatu jenis makanan itu dikatakan halal dimakan, bermaksud ia boleh dimakan. Penggunaan  halal  dalam makanan, umumnya  merangkumi hukum wajib, sunat, harus dan makruh.

Panduan logo halal JAKIM

Kesemua hukum tersebut bergantung pada jenis produk, haiwan dan keadaan. Oleh sebab itulah, para ulama Islam telah membahagikan perbincangan setiap hukum tersebut dalam satu perbincangan yang khusus.

Dalam isu berhubung konsep makanan dan kepenggunaan halal, ulama menetapkan tiga syarat utama seperti berikut:

Pertama: Memilih produk makanan yang halal dan bersih.

Islam mensyaratkan pengguna Islam agar mencari makanan dan minuman yang halal dan baik (tayyib). Firman Allah  S.W.T. dalam surah al-A’raf: 157,

Dan Allah menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk (kotor & najis).”

Jika diperhalusi daripada ayat di atas, ditegaskan kepada umat Islam khususnya pengguna agar memilih semua jenis produk makanan atau minuman yang halal lagi bersih. Adalah tidak benar, apabila terdapat segelintir pengguna merungut “susahlah nak cari yang halal belaka.” Sebenarnya mereka silap.

Jika diselidiki dalam al-Quran, perkara yang halal lebih banyak dari yang haram. Kerana itu, baginda Nabi s.a.w dan para sahabat dididik oleh Allah S.W.T. agar tidak menjamah makanan yang haram atau bernajis.     

Kedua: Tidak melampaui batas.

Walaupun Islam mewajibkan kita mencari makanan yang halal dan suci dalam kehidupan, namun, kita juga diingatkan agar tidak tersilap dalam mentafsirkan arahan tersebut sehingga menyebabkan pembaziran, kerosakan, kemudaratan dan sebagainya. Allah S.W.T. mengingatkan dalam surah al-A‘raf: 31,

Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat, makanlah serta minum lah, dan jangan pula kamu melampau-lampau. Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”

Konsep kesederhanaan juga amat perlu difahami oleh semua lapisan masyarakat Islam. Realitinya, sikap tamak ketika menjamah makanan, suatu amalan yang tidak baik untuk sistem penghadaman.

Bahkan perbuatan tersebut boleh mendatangkan kemudaratan terhadap kesihatan tubuh badan manusia. Konsep kesederhanaan, tidak hanya tertumpu kepada berlebih-lebihan dalam aspek pemakanan.

Ia turut dikaitkan dengan sikap segelintir golongan yang menahan makan kononnya sebagai zuhud untuk beribadah sehingga menyebabkan lemahnya ketahanan dan kesihatan badan. Ini satu pemahaman yang salah. Bagaimana nak beribadah kalau badan sakit? Bagaimana nak beribadah kalau badan lemah?

Maka, sikap kesederhanaan dalam aspek pemakanan, suatu jaminan bagi pembentukan kesihatan yang baik pada tubuh badan. Hal ini telah ditegaskan lagi oleh al-Qur’an berkaitan dengan larangan berlebih-lebihan dalam pemakanan dalam Surah al-Ma’idah: 87,

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan kehalalannya itu). Sesungguhnya Allah S.W.T. tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”  

Jika kita kembali kepada sunah, Rasulullah s.a.w. amat melarang para sahabat melakukan sesuatu amalan kebaikan dan kebajikan secara berlebih-lebihan sehingga melampaui batas. Tidak kiralah yang meliputi urusan makanan, minum dan sebagainya. Sabda Baginda s.a.w.,

“Makanlah, minumlah, pakailah dan bersedekahlah asalkan tidak melampau-lampau dan bermegah-megah.” – HR Ibn Majah

Ketiga: Bukan daripada sumber yang haram dan bernajis.

Tanpa sebarang penafian, segala jenis produk makanan yang haram dimakan wajib dihindari dalam semua keadaan. Ini kerana, dikhuatiri makanan haram itu bertukar menjadi darah daging.

Apabila hal ini berlaku, mana mungkin doa mereka hendak dikabulkan oleh Allah S.W.T.? Hal ini digambarkan oleh Nabi s.a.w. dalam sepotong hadis,  bahawa seorang lelaki berdoa kepada Allah sedangkan makanannya, minumannya, pakaiannya dan pendapatannya daripada yang haram. Maka bagaimanakah Allah hendak makbulkan doanya itu?

Kesimpulannya, mencari yang halal itu merupakan satu kewajipan ke atas umat Islam. Sekiranya konsep halal dalam makanan dan minuman dapat diperkasakan dalam kehidupan masyarakat Islam, pasti  ia mampu melahirkan generasi al-Quran yang peka terhadap hukum hakam yang telah ditetapkan oleh Islam.

Maka, akan bermulalah sebuah kehidupan yang mendapat keberkatan oleh Allah S.W.T. di dunia dan akhirat (Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, Pensyarah Fiqh Makanan dan Penggunaan Semasa Fak. Pengajian Islam UKM).

____________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...