General Knowledges's Followers

Just Click & You Just Treat Me!!! tQ

Nov 3, 2010

Islam: Mari Menjadi Manusia...

Bercakap memang mudah. Benar, kita manusia tapi belum tentu kita ada sifat kemanusiaan. Manusia dan kemanusiaan, hakikatnya dua benda berbeza. Manusia diciptakan Allah, bukan untuk bermain-main atau tiada tujuan. Ramai manusia kabur dan tidak nampak apa tujuan dia hidup. Maka, dia mudah berputus asa. Hidupnya sukar, penuh dengan duka, tidak kenal erti ketenangan dan tidak bahagia. Jiwanya kosong, tercari-cari matlamat hidup. Faktor utama ialah kerana tidak tahu.

Moga-moga artikel pendek ini berjaya merubah keadaan kita yang "'tidak tahu" menjadi "tahu".

Firman Allah dalam surah Al-Mukminun ayat 115..

"Maka apakah kamu mengira bahawa Kami menciptakan kamu bermain-main (tanpa ada maksud) dan kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?"

Suatu ayat sindir, Allah tujukan kepada kita untuk kita sama-sama muhasabah diri.

Secara asasnya, manusia diciptakan Allah dengan 3 komponen, iaitu Hati, Akal dan Jasad. Ketiga-tiga komponen ini ada tugas dan peranan. Peranan hati ialah untuk membuat pilihan. Firman Allah dalam surah Al-Kahfi ayat 29.

" ... maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya.."

Dalam hidup,manusia diberi pelbagai pilihan. Pilihan samada untuk mengalihkan pandangan atau tidak apabila ternampak aurat manusia, membuat pilihan sama ada mahu bercakap atau diam apabila mendengar azan, membuat pilihan samada mahu menegur atau lari apabila mendengar orang mengumpat, dan lain-lain. Siapa kata dia tiada pilihan, maka dia pembohong. Pilihan sentiasa ada, cuma kekuatan saja yang kadang ada kadang tiada. Kerana itulah wujud "'dosa terpaksa".

Peranan Akal pula ialah untuk berfikir. Berfikir akan baik buruk sesuatu benda. Memikirkan kesan dan akibat dan memikirkan bagaimana mahu mendapat redha Allah. Firman Allah dalam surah Al-Isra' ayat 36

"Dan janganlah engkau mengikut sesuatu yang kamu tidak tahu. Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu akan ditanya tentang apa yang dilakukannya".

Sangat jelas, peranan akal untuk berfikir dan menilai sesuatu, sebelum bertindak. Contohnya,jika aku tinggal solat, apa kesannya kepada aku? Jika aku bercouple, apa kesannya kepada aku? Jika aku tengok filem tu, apa kesannya kepada aku? Semua persoalan ini harus dinilai oleh akal.

Akhir sekali, peranan jasad iaitu untuk beramal. Tipulah jika kita mengaku kita beriman, tapi tidak beramal. Tipulah jika kita mengaku beriman tapi tidak dibuktikan dengan perbuatan. Rasanya tidak perlu huraian yang panjang bagi amal. Cukuplah kita faham bahawa kita tidak dikira beriman selagi kita belum melaksanakan tuntutan iman.

Dengan wujudnya 3 komponen penting ini dalam diri manusia, layaklah manusia menjadi sebaik-baik makhluk, berbeza dengan haiwan. Namun, dengan anugerah hati, akal dan jasad ini, Allah telah memberi kita amanah sejak kita di alam roh hingga hujung nyawa. Amanah yang memerlukan kepada pengorbanan dan perjuangan.

Apakah amanah-amanah itu?

Ia adalah tuntutan ibadah dan menjadi khalifah.

Firman Allah dalam surah Adz-Zariyat ayat 56 :

"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku".

Tiada persoalan, tiada bantahan. Jelas.

Selain beribadah, kita juga adalah khalifah di muka bumi ini. Ini dinyatakan dengan jelas oleh Allah dalam ayat ke 30 dalam surah al-Baqarah;

"Aku hendak menjadikan khalifah dimuka bumi ini".

Sesuatu yang kita harus hayati ialah bagaimana untuk kita melaksanakan dua perkara dalam satu masa, iaitu beribadah dan menjadi khalifah.

Secara teori, ia mudah kerana menjadi khalifah itu sendiri ialah ibadah kerana segala perbuatan kita adalah ibadah kepada Allah s.w.t. Kita diperintah oleh Allah untuk memakmurkan bumi. Maka, jika orang tanya saya apa matlamat hidup saya, saya akan menjawab saya mahu menjadi manusia yang bermanfaat.

Matlamat hidup,tujuan hidup dan apa yang saya kejar di dunia ini hanyalah apa yang Allah suruh- iaitu menjadi manusia yang bermanfaat dan sentiasa beribadah kepada-Nya.

Akhir sekali, selepas kita diberikan amanah, Allah menyediakan balasan kepada kepada kita. Jelas, orang-orang yang berusaha menunaikan amanah, Allah sediakan syurga dan bagi manusia yang tidak tahu, tidak mahu dan tidak peduli dengan amanah ini, Allah sediakan neraka. (Nauzubillah).

Kesimpulan

Saya juga masih mencuba-cuba untuk menjadi manusia. Manusia yang ada "fungsi", ada matlamat dan ada tujuan. Ia memang tidak mudah, tapi cukuplah jika Allah tahu saya berusaha dan akan terus berusaha sehingga saya mati. Semoga usaha saya ini diterima Allah s.w.t.

Islam: 10 Soalan Sebelum Bertunang

Membuat keputusan untuk berkahwin bukanlah suatu perkara yang mudah. Perkahwinan bererti memasuki suatu alam yang berlainan sama sekali dengan alam yang pernah dilalui sebelumnya, bak kata Tan Sri S M Salim dalam salah satu lagunya, 'dulu lain sekarang lain, dulu bujang sekarang dah kahwin'.

Setiap pasangan yang berkahwin pastinya mengharapkan perkahwinan itu kekal bahagia buat selama-lamanya. Ramai yang berjaya. Namun tidak kurang pula yang kecewa.

Al-Ustaz Jasim Muhammad al-Mutawwa', bekas kadi ahwal syakhsiyyah di Kuwait menyimpulkan antara sebab berlakunya keretakan dan kegagalan dalam perkahwinan adalah kurang taaruf atau tidak mengenali antara satu sama lain dengan mendalam sebelum berkahwin.

Taaruf yang mendalam atau mengenali bakal teman hidup sebelum melangsungkan perkahwinan sangat penting demi menjamin kesejahteraan dan keseimbangan dalam menjalani kehidupan berumahtangga.

Ini tidak bermakna pasangan mesti melalui alam percintaan sebelum berkahwin, kerap bertemu dan berhubung melalui panggilan telefon, sms, chatting dan sebagainya.

Percintaan sebelum berkahwin seperti yang dilakukan oleh segolongan masyarakat dan ditonjolkan dalam segala macam media sebagai suatu kemestian, suatu dunia yang penuh dengan keindahan dan keseronokan adalah sebenarnya penipuan belaka.

Alam percintaan tidak mendedahkan hakikat diri yang sebenarnya. Masing-masing berusaha menunjukkan yang terbaik sahaja di hadapan pasangannya.

Setelah berkahwin barulah terbongkar segala rahsia, segala perangai dan sikap buruk yang selama ini disembunyikan.

Untuk mengenali calon pasangan hidup anda dengan mendalam, al-Ustaz Jasim Muhammad al-Mutawwa' mencadangkan agar anda mengajukan 10 soalan.

Soalan-soalan ini boleh diajukan secara langsung semasa sesi taaruf, atau melalui orang tengah. Jika calon memilih untuk bertemu, melihat dan berkenalan pastikan pertemuan itu tidak dilakukan secara berdua-duaan di tempat suci dan terpencil.

Jangan cemari niat yang suci dengan melanggari perintah Allah dan Rasul. Jangan relakan syaitan menjadi orang ketiga di antara anda dengan si dia.


10 soalan itu adalah:

1. Apakah wawasan hidupnya?

Setiap orang mempunyai wawasan dan cita-cita yang ingin dicapai dalam hidupnya. Inilah yang perlu anda ketahui mengenai bakal pasangan hidup anda.

Sekiranya anda dan dia mempunyai wawasan dan matlamat hidup yang sama maka perselisihan dalam rumahtangga akan berkurangan.

2. Bagaimanakah kefahamannya mengenai konsep perkahwinan?

Kefahaman serta tasawur atau gambaran yang jelas mengenai perkahwinan amat penting.

Sekiranya kedua-dua pihak mempunyai kefahaman yang berbeza, umpamanya satu pihak menganggap perkahwinan hanya sekadar memenuhi tuntutan nafsu semata-mata, sedang satu pihak lagi memandang sebagai satu ibadah, sudah semestinya rumahtangga yang bakal dibina tidak akan aman daripada perselisihan dan pergaduhan.

3. Apakah sifat-sifat yang digemari dan tidak digemarinya?

Adalah penting bagi setiap pasangan mengetahui kegemaran pasangannya, apa yang disukai dan tidak disukainya kerana kadang-kadang perselisihan berlaku disebabkan kelainan kegemaran dan citarasa.

Sekiranya kegemaran setiap pihak diketahui terlebih awal mungkin perselisihan dapat dielakkan.

4. Apakah pandangannya mengenai anak pada tahun pertama perkahwinan?

Setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza mengenai masa yang sesuai untuk menimang cahaya mata.

Sekiranya satu pihak belum bersedia sedang pihak yang satu lagi sudah tidak sabar untuk bergelar ibu atau ayah, pastilah kedua-dua pihak akan berasa tertekan dan perhubungan akan jadi tegang.

5. Adakah dia mempunyai masalah kesihatan atau kecacatan?

Masalah kesihatan yang kronik atau kecacatan semula jadi pada anggota badan tidak wajar disembunyikan.

Mengetahui adanya penyakit atau kecacatan tertentu akan mempengaruhi keputusan yang bakal diambil.

Menyembunyikan penyakit yang kronik atau kecacatan yang mengaibkan boleh dianggap sebagai satu  penipuan.

6. Adakah dia seorang yang suka bergaul?

Sesetengah orang suka bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat, mempunyai kawan dan kenalan di merata-rata tempat. Sesetengah yang lain pula suka menyendiri, tidak pandai berkawan dan sukar didampingi.

Orang macam mana yang anda cari?

7. Bagaimana hubungannya dengan ahli keluarganya?

Perkahwian bukan sekadar aqad yang mempertemukan antara dua jiwa. Sebaliknya perkahwinan merupakan hubungan kemasyarakatan yang mencantumkan antara dua keluarga atau lebih.

Oleh itu bakal tunangan harus tahu status keluarga serta hubungan mereka antara satu sama lain. Hubungan kekeluargaan juga sedikit sebanyak menggambarkan keperibadian seseorang.

8. Apakah kegemarannya dan bagaimana dia mengisi waktu lapangnya?

Kegemaran serta cara seseorang memenuhi masa lapangnya juga memberi gambaran tentang wawasan serta cita-citanya dalam hidup ini.

9. Adakah dia aktif dalam mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan kebajikan?

Keaktifan dalam persatuan kebajikan atau pertubuhan sukarela menggambarkan dia bukan seorang yang sombong dan mementingkan diri.

Orang yang hidupnya sekadar untuk memenuhi cita-cita dan wawasan peribadi semata-mata sebenarnya hidup dalam dunia yang sempit dan mati sebagai insan yang kerdil.

Tetapi orang yang hidup dalam perjuangan akan hidup sebagai insan yang hebat dan apabila dia mati namanya akan dikenang zaman-berzaman.

10. Apakah pandangannya sekiranya ibu bapa masuk campur dalam urusan peribadi atau urusan rumahtangga mereka?

Setengah orang menganggap rumahtangga adalah masalah peribadi yang terlalu khusus. Tiada seorang pun yang boleh masuk campur walaupun ibu bapa sendiri.

Hal ini sangat penting diketahui oleh setiap orang yang akan memasuki gerbang perkahwinan.

Apakah pandangan bakal pasangan hidupnya.

Adakah dia termasuk dalam golongan di atas atau sebaliknya seorang yang terlalu bergantung kepada kedua-dua ibu bapanya walaupun telah berkeluarga?

Apabila anda telah mendapat jawapan yang bersesuaian dengan apa yang dicari, maka teruskanlah hasrat anda untuk melamarnya. Begitu juga halnya dengan pihak yang dilamar.

Pastikan anda mengenali jejaka yang melamar itu dengan mengajukannya 10 soalan di atas.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...