General Knowledges's Followers

Just Click & You Just Treat Me!!! tQ

Sep 27, 2022

Apa konsep sebenar halal dan haram dalam makanan? Ini panduan dan penjelasannya.

March 16, 2021 

https://utusantv.com/2021/03/16/konsep-halal-dan-haram-dalam-makanan/

Hari ini, pelbagai produk makanan dan kepenggunaan yang bersifat semasa banyak di pasaran. Ada antaranya dimaklumi kehalalannya. Terdapat juga produk makanan yang masih belum diketahui hukumnya, terutama konsep halal dan haram dalam makanan.

Dengan itu, produk-produk seperti ini memerlukan kajian yang mendalam oleh para ulama bagi menentukan hukumnya secara jelas. Firman Allah S.W.T.  dalam surah Al-Nahl: 116

“Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu, “Ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya.”

Ironinya, masyarakat Islam tidak boleh menuding jari kepada pihak berwajib semata-semata. Sebaliknya harus sentiasa peka terhadap segala jenis produk makanan dan kepenggunaan yang terdapat di sekeliling mereka.

Sekiranya hal ini dapat dilakukan dengan baik, sudah pasti misi dan visi kerajaan untuk memperkenalkan halal hub dapat terlaksana dengan jayanya. Sekali gus menjadi contoh di peringkat global.

Bagi merealisasikan hasrat murni kerajaan untuk melahirkan produk-produk makanan halal di peringkat nasional dan global, pemahaman terhadap konsep makanan halal dan haram harus ditonjolkan secara komprehensif melalui media cetak dan elektronik kepada lapisan masyarakat.

Para ulama telah membincangkan secara mendalam berhubung makanan yang halal, haram, dan makruh untuk dimakan oleh umat Islam. Justeru, di sini dijelaskan konsep makanan yang halal dimakan menurut perspektif Islam.

Halal itu lebih banyak

Perkataan  halal  sering digunakan dalam penentuan hukum makanan dan sebagainya. Ia memberi erti  harus atau boleh . Apabila sesuatu jenis makanan itu dikatakan halal dimakan, bermaksud ia boleh dimakan. Penggunaan  halal  dalam makanan, umumnya  merangkumi hukum wajib, sunat, harus dan makruh.

Panduan logo halal JAKIM

Kesemua hukum tersebut bergantung pada jenis produk, haiwan dan keadaan. Oleh sebab itulah, para ulama Islam telah membahagikan perbincangan setiap hukum tersebut dalam satu perbincangan yang khusus.

Dalam isu berhubung konsep makanan dan kepenggunaan halal, ulama menetapkan tiga syarat utama seperti berikut:

Pertama: Memilih produk makanan yang halal dan bersih.

Islam mensyaratkan pengguna Islam agar mencari makanan dan minuman yang halal dan baik (tayyib). Firman Allah  S.W.T. dalam surah al-A’raf: 157,

Dan Allah menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk (kotor & najis).”

Jika diperhalusi daripada ayat di atas, ditegaskan kepada umat Islam khususnya pengguna agar memilih semua jenis produk makanan atau minuman yang halal lagi bersih. Adalah tidak benar, apabila terdapat segelintir pengguna merungut “susahlah nak cari yang halal belaka.” Sebenarnya mereka silap.

Jika diselidiki dalam al-Quran, perkara yang halal lebih banyak dari yang haram. Kerana itu, baginda Nabi s.a.w dan para sahabat dididik oleh Allah S.W.T. agar tidak menjamah makanan yang haram atau bernajis.     

Kedua: Tidak melampaui batas.

Walaupun Islam mewajibkan kita mencari makanan yang halal dan suci dalam kehidupan, namun, kita juga diingatkan agar tidak tersilap dalam mentafsirkan arahan tersebut sehingga menyebabkan pembaziran, kerosakan, kemudaratan dan sebagainya. Allah S.W.T. mengingatkan dalam surah al-A‘raf: 31,

Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat, makanlah serta minum lah, dan jangan pula kamu melampau-lampau. Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”

Konsep kesederhanaan juga amat perlu difahami oleh semua lapisan masyarakat Islam. Realitinya, sikap tamak ketika menjamah makanan, suatu amalan yang tidak baik untuk sistem penghadaman.

Bahkan perbuatan tersebut boleh mendatangkan kemudaratan terhadap kesihatan tubuh badan manusia. Konsep kesederhanaan, tidak hanya tertumpu kepada berlebih-lebihan dalam aspek pemakanan.

Ia turut dikaitkan dengan sikap segelintir golongan yang menahan makan kononnya sebagai zuhud untuk beribadah sehingga menyebabkan lemahnya ketahanan dan kesihatan badan. Ini satu pemahaman yang salah. Bagaimana nak beribadah kalau badan sakit? Bagaimana nak beribadah kalau badan lemah?

Maka, sikap kesederhanaan dalam aspek pemakanan, suatu jaminan bagi pembentukan kesihatan yang baik pada tubuh badan. Hal ini telah ditegaskan lagi oleh al-Qur’an berkaitan dengan larangan berlebih-lebihan dalam pemakanan dalam Surah al-Ma’idah: 87,

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan kehalalannya itu). Sesungguhnya Allah S.W.T. tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”  

Jika kita kembali kepada sunah, Rasulullah s.a.w. amat melarang para sahabat melakukan sesuatu amalan kebaikan dan kebajikan secara berlebih-lebihan sehingga melampaui batas. Tidak kiralah yang meliputi urusan makanan, minum dan sebagainya. Sabda Baginda s.a.w.,

“Makanlah, minumlah, pakailah dan bersedekahlah asalkan tidak melampau-lampau dan bermegah-megah.” – HR Ibn Majah

Ketiga: Bukan daripada sumber yang haram dan bernajis.

Tanpa sebarang penafian, segala jenis produk makanan yang haram dimakan wajib dihindari dalam semua keadaan. Ini kerana, dikhuatiri makanan haram itu bertukar menjadi darah daging.

Apabila hal ini berlaku, mana mungkin doa mereka hendak dikabulkan oleh Allah S.W.T.? Hal ini digambarkan oleh Nabi s.a.w. dalam sepotong hadis,  bahawa seorang lelaki berdoa kepada Allah sedangkan makanannya, minumannya, pakaiannya dan pendapatannya daripada yang haram. Maka bagaimanakah Allah hendak makbulkan doanya itu?

Kesimpulannya, mencari yang halal itu merupakan satu kewajipan ke atas umat Islam. Sekiranya konsep halal dalam makanan dan minuman dapat diperkasakan dalam kehidupan masyarakat Islam, pasti  ia mampu melahirkan generasi al-Quran yang peka terhadap hukum hakam yang telah ditetapkan oleh Islam.

Maka, akan bermulalah sebuah kehidupan yang mendapat keberkatan oleh Allah S.W.T. di dunia dan akhirat (Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, Pensyarah Fiqh Makanan dan Penggunaan Semasa Fak. Pengajian Islam UKM).

____________________________

Jan 28, 2014

Jangkitan Rotavirus pada Kanak-kanak




Rotavirus ialah jangkitan virus yang paling kerap menyebabkan cirit- birit dan muntah di kalangan kanak-kanak. jangkitan ini sering menjangkiti kanak-kanak berusia 5 tahun ke bawah. Sistem pertahanan badan akan meningkat setiap kali dijangkiti Rotavirus. Oleh itu, jangkitan pertama adalah lebih teruk daripada jangkitan yang kedua dan seterusnya.
1.Bagaimana jangkitan ini merebak?
Rotavirus merebak melalui pemakanan, contohnya: najis yang mempunyai virus rotavirus dibersihkan dengan tidak sempurna. Rotavirus ini boleh merebak ke tangan. Apabila tangan ini digunakan untuk makan, Rotavirus masuk ke dalam usus kecil dan menyerang sel- sel di situ, menjadikan cirit-birit dan muntah-muntah. Rotavirus boleh berada selama 2 hari dalam usus kecil, sebelum tanda-tanda muntah dan cirit-birit bermula.

2.Berapa lamakah jangkitan Rotavirus ini dialami oleh pesakit?
Selalunya, muntah dan cirit-birit akan berlarutan selama 4 ke 8 hari. Oleh kerana Rotavirus menyebabkan kekurangan enzim ” lactase” yang memproses susu, jika pesakit minum susu, mungkin mereka akan muntah atau cirit-birit lagi.

3.Apakah rawatan yang bagi jangkitan Rotavirus?
1. Pastikan kandungan air dalam badan mencukupi

- Amat penting sekali untuk ibubapa memastikan anak mempunyai kandungan air yang cukup, kerana kekurangan air dalam badan bayi/ kanak- kanak boleh menyebabkan KEMATIAN! -

-Oleh itu, jika anak mengalami muntah/ cirit birit ….
- pastikan anak-anak diberi ORS ( garam hidrasi semula) yang dibancuh dengan air. Jangan campurkan benda lain seperti gula / Ribena/ jus dalam bancuhan ini.
– berikan air minuman secara sedikit-sedikit dan kerap seperti 50 ml setiap 15 minit. Ataupun suapkan 3-4 sudu air setiap 15 minit. Ianya memang sedikit meletihkan, tetapi percayalah, anak – anak akan terasa disayangi dan akan berusaha minum apabila ibubapa memberi perhatian yang kerap pada mereka.
- berikan makanan yang mudah hadam seperti bubur nasi dan biskut jika anak mahu. Pakar mendapati bahawa , pemberian makanan pejal awal dapat mempercepatkan kesembuhan cirit- birit.
- teruskan dan tambahkan kekerapan penyusuan ibu. Sudu ibu mempunyai antibodi serta kandungan air yang banyak bagi mengganti kehilangan dalam badan. Pelukan ibu juga dapat meningkatkan rasa selesa anak-anak dan mencepatkan penyembuhan.
- jika anak menyusu formula, boleh dihentikan untuk beberapa jam, dan diberikan semula dalam jumlah yang sedikit-sedikit.

Cadangan pemakanan
Hari pertama;
- susu ibu- tambahkan kekerapan jika anak mahu menyusu
-air campur ORS- boleh dijadikan aiskrim dan diberi pada anak- anak untuk menggalakkan dia minum
- pilihan lain
- air glukosa/ air gula: 1 sudu campur 120 ml air
-cordial: 1 bahagian cordial campur 16 bahagian
- air buah-buahan: 1 bahagian campur 4 bahagian air
-jika anak mahu makan, boleh berikan makanan dengan perlahan- lahan dan sedikit- sedikit.jika anak muntah, berikan secawan air untuk beliau minum selepas muntah.

Hari kedua/ ketiga
-susu ibu
- berikan semula susu formula secara sedikit-sedikit dan perlahan-lahan.
- jika anak mahu makan, boleh berikan makanan dengan perlahan- lahan dan sedikit- sedikit.

hari keempat/ kelima
Berikan susu formula pada kepekatan biasa dan berikan makanan secara perlahan-lahan. Mulakan dengan makanan seperti biskut cream cracker, pisang, nasi. Elakkan makanan berlemak dan berminyak. Elakkan makanan yang boleh menggalakkan anak kencing ( kehilangan air) seperti nescafe/ kopi.

2. Buatlah rekod tentang berapa banyak dan berapa kali anak muntah/ buang air besar / buang air kecil. Catatkan juga berapa banyak makanan dan minuman yang diberi serta keadaan anak. Ini boleh membantu doktor dan ibubapa menilai tahap kesihatan anak.
3. Sekiranya mempunyai mesin timbang di rumah , ibubapa boleh menimbang anak-anak dalam keadaan tanpa pakaian setiap hari. Berat badan yang berkurangan melebihi 5 peratus dari berat badan asal menunjukkan kehilangan air yang banyak.
4. Pastikan penjaga membasuh tangan dengan sempurna menggunakan sabun dan air setiap kali selepas menukar lampin. Pastikan juga tangan dibasuh dengan baik sebelum menyediakan makanan bagi mengelakkan terjangkit kepada ahli keluarga yang lain.

4.Bagaimana nak tahu sama ada anak saya cukup kandungan air?

Boleh lihat dari keadaan anak-anak:
Tiada dehidrasi
Aktif, jumlah air kencing dan kekerapan macam biasa, air mata ada ketika menangis. Jika diberikan air, anak minum seperti biasa. Jika kulit dicubit lembut, kulit kembali tegang seperti keadaan biasa.

Dehidrasi sederhana:
Merengek, bibir merekah dan mulut kering, air kencing kurang banyak, 1-2 kali sehari, berwarna kuning pekat, mata cengkung ke dalam dari biasa, tiada atau sedikit air mata ketika menangis. Apabila diberikan air, anak minum segera seperti kehausan dan jika dicubit lembut, kulit kembali dalam keadaan asal dalam 2 saat.

dehidrasi teruk:
Lembik, tidak mampu membuka mata atau melihat kembali, tidak kencing langsung dalam 24 jam, terbaring sepanjang masa dan tidak bermain, kaki dan tangan sangat sejuk, bernafas dengan laju, nadi lemah dan cepat, kulit kering dan berkedut, jika dicubit, kulit kembali ke keadaan asal lebih 2 saat.

5.Bilakah anak patut dibawa ke hospital?
Jika anak masih boleh makan/ minum , tahap dehidrasi sedikit/ sederhana, ada penjaga yang boleh memerhatikan keadaannya bolehlah diberi rawatan ORS dan pemantauan di rumah.
Jumlah cecair ORS yang perlu diberikan : (Gunakan sudu atau picagari kecil).
-Umur bayi 6 bulan ke bawah (30 hingga 90mls setiap jam)
-umur 6 bulan hingga 1 tahun (90 hingga 120mls setiap jam)
- umur atas 1 tahun (120 hingga 240mls setiap jam

Bawa anak ke hospital jika:
-anak berumur 6 bulan ke bawah
- tahap dehidrasi teruk
-tidak dapat makan / minum langsung
-tiada penjaga dapat memantau keadaan di rumah
-terdapat darah dalam najis
- sakit perut bertambah kuat

Doktor perlu memastikan anak tersebut tidak mengalami intussusception ( usus tersumbat) dan penyakit- penyakit lain yang lebih serius.
makanan yang patut dielakkan semasa anak mengalami cirit- birit
1. Ubat- ubatan penahan muntah atau penahan cirit- birit. Kebanyakan ubat penahan muntah atau cirit- birit mempunyai kesan sampingan yang teruk ke atas kanak- kanak. Ubat metoclopramide ( maxolon) misalnya ialah ubat penahan muntah yang boleh memberi kesan yang dipanggil “oculogyric crisis” di mana mata kanak- kanak memandang ke atas dan otot leher / muka menjadi tegang dan tidak boleh berpusing ke kiri atau ke kanan. Ubatan seperti “phenergan” ( promethazine) mempunyai risiko melemahkan pernafasan terutamanya untuk bayi berumur 2 tahun ke bawah. Oleh itu, elakkan mengambil ubat- ubatan begini dan teruskan dengan air dan ORS.
2. Makanan berasaskan susu, kecuali yogurt.
Oleh kerana enzim lactase yang memproses susu tidak dihasilkan oleh usus yang sakit, maka makanan berasaskan susu akan menyebabkan anak- anak lebih kerap muntah dan cirit- birit. Yogurt pula , walaupun berasal dari susu, mengandungi probiotic, bahan yang didapati dapat menyembuhkan cirit- birit dengan segera. Minuman seperti Vitagen / Bliss dan sebagainya boleh diberikan sekiranya anak- anak mahu.

3. Jus buah- buahan
Jus buah-buahan yang terlalu manis boleh menyebabkan cirit-birit menjadi teruk. Makanan manis yang mengandungi sorbitol seperti gula-gula boleh menyebabkan cirit-birit bertambah teruk. Cairkan dahulu jus ini atau elakkan dari memberi anak- anak jus untuk sementara waktu.

4. Minuman tinggi kafein seperti kopi atau nescafe. Minuman sebegini menggalakkan kehilangan air dari badan anak- anak, jadi berikanlah minuman lain.
5. Vitamin C berkepekatan tinggi
Terdapat ibubapa yang memberikan anak-anak vitamin C apabila mereka sakit, dengan harapan agar cepat sembuh. Vitamin C jika diberi pada dos yang tinggi seperti 2000 mg boleh menyebabkan cirit-birit. Justeru itu, berhati-hatilah apabila memberikan anak-anak Vitamin C.

6.Saya pernah dengar tentang diet BRAT. Apa itu diet BRAT? 
Diet BRAT ialah pendek bagi
Banana
Rice
Applesauce
Toast – tanpa mentega

Secara amnya ianya ialah makanan yang dicadangkan diberi kepada anak-anak yang mengalami cirit- birit atau muntah. Mengandungi kalori : karbohidrat bagi memberi tenaga tetapi tidak mengandungi kandungan protein. Ibubapa boleh memberi diet ini perlahan- perlahan sehingga anak pulih semula.
7.Anak saya telah kelihatan sihat dan aktif , tetapi masih cirit- birit 3-4 kali sehari. Apa patut saya lakukan?
Jika anak aktif , air kencingnya seperti biasa, makan dan minum dengan baik, tidak perlu puan bimbangkan. Usus yang rosak mengambil masa untuk pulih , tempoh 2-6 minggu. Sekiranya memang ketara cirit- birit terjadi setiap kali selepas memberikan susu formula, boleh menggantikan susu formula dengan susu soya , sehingga cirit- birit tiada lagi, barulah diberikan semula susu formula ( susu lembu).

8.Bolehkah saya memberikan anak 100 plus atau minuman kecergasan bagi menggantikan ORS?
Sebenarnya , kandungan minuman kecergasan adalah tidak sama dengan kandungan ORS. ORS telah diformulasikan agar sama dengan komposisi cecair badan. Kandungan minuman kecergasan tidak mempunyai natrium yang cukup serta tinggi kandungan gula. Kandungan gula yang tinggi boleh menyebabkan cirit- birit. Oleh itu, seboleh mungkin pujuklah anak untuk minum air/ ORS.

9.Cara mengelakkan jangkitan rotavirus
Oleh kerana Rotavirus merupakan jangkitan virus, tiada antibiotik dapat menyembuhkan jangkitan ini. Tetapi syukur Alhamdulillah, terdapat vaksin bagi mengelakkan jangkitan Rotavirus. Ianya tidak perlu dicucuk , vaksin ini boleh dimakan dan digalakkan diberi ketika berusia 6 bulan ke bawah.

Rujukan:
1.http://www.rch.org.au/clinicalguide/guideline_index/Gastroenteritis/

*Adakah artikel di atas berguna pada anda? Tinggalkan komen /cadangan / pendapat anda di bahagian komen di bawah
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...